Pemandu Pemuda | Pemandu Pemuda | 19
(1-132)
Dialog Dengan Sekumpulan Pemuda
Pada suatu hari, saya didatangi oleh sekumpulan pemuda. Terpancar kejernihan dan kepintaran daripada wajah mereka. Mereka datang untuk meminta panduan serta petunjuk lurus yang dapat mengawal mereka daripada keburukan yang berceracak keluar daripada tuntutan-tuntutan kehidupan, jiwa kemudaan dan hawa nafsu yang melingkungi mereka.
Lalu saya berkata kepada mereka sebagaimana saya pernah berkata kepada mana-mana orang yang datang memohon bantuan daripada Rasa’il al-Nur:
Ketahuilah bahawa keceriaan umur dan keindahan kehidupan yang kamu sedang nikmati sekarang pasti akan hilang. Jika kamu tidak beriltizam dengan batasan sempadan syarak, zaman muda kamu akan hilang begitu sahaja dengan sia-sia ibarat debu yang berterbangan. Di samping itu, kamu juga akan memperoleh pelbagai bala bencana, musibah dan kesakitan semasa di dunia, di dalam kubur dan di akhirat nanti. Bala bencana, musibah dan kesakitan ini jauh lebih besar dan berat jika dibandingkan dengan kelazatan yang diperoleh dan dirasai di dunia… Tetapi jika kamu menggunakan seluruh zaman muda kamu dalam perkara yang boleh memelihara diri dan kehormatannya serta dalam perkara ketaatan kepada tuhan kamu dengan mendidiknya berdasarkan Islam, sebagai menunaikan hak bersyukur kepada Allah terhadap nikmat zaman muda yang dikurniakan kepada kamu, maka nikmat tersebut akan berkekalan dari sudut maknawi. Ia juga menjadi jalan kejayaan buat kamu untuk memperoleh zaman muda yang berkekalan di dalam syurga yang kekal abadi.
Jika kehidupan ini tidak dilengkapi dengan iman, atau iman tidak memainkan peranannya dengan berkesan kerana terlalu banyak maksiat yang dilakukan, meskipun kehidupan ini dipenuhi dengan pelbagai jenis kenikmatan dan kelazatan zahir yang berlangsung dalam tempoh yang amat pendek… kehidupan ini akan dipenuhi dengan kesakitan, kedukaan dan kenestapaan yang berkali-kali ganda lebih besar jika dibandingkan dengan kenikmatan dan kelazatan tersebut. Ini kerana seseorang manusia yang dikurniakan akal dan fikiran mempunyai hubungan yang amat intim dengan zaman lampau dan akan datang, lebih-lebih lagi dengan zaman yang dia sedang berada padanya. Ini menyebabkan dia boleh mengecap kelazatan bahkan merasai kesakitan zaman-zaman tersebut. Keadaan ini tidak sama dengan keadaan haiwan. Kelazatan yang sedang dikecapi oleh seekor haiwan tidak boleh dikeruhkan oleh kedukaannya terhadap sesuatu yang telah berlaku pada masa lalu dan tidak juga oleh kebimbangan terhadap sesuatu yang mungkin akan berlaku pada masa hadapan, kerana ia tidak dikurniakan fikiran.
No Voice
Türkçe
English
العربية
Pyccĸий
français
Deutsch
Español
italiano
中文
日本語
Қазақ
Кыргыз
o'zbek
azərbaycan
Türkmence